Tuesday, June 30, 2009

Perbezaan Ilmu (science) dan Pengetahuan (knowlwdge)

Maksud ilmu (science); ialah sesuatu yang dipelajari, diamati, dikaji dengan menggunakan metodologi tertentu secara sistematik dan logik untuk memperolehi kebenaran kebenaran tentang sesuatu perkara.

Pengetahuan : Ialah maklumat yang diketahui melalui pancaindera tetapi tidak mencapai tahap penguasaan sebagaimana ilmu.Oleh itu, perkataan ilmu lebih lengkap dan sesuai sama ada dari sedgi maksud ataupun bagi menunjukkan tahap pencapaian penguasaan sesuatu bidang
pengetahuan.

Contoh ilmu ; boleh memperbaiki kipas elektrik yang rosak
Contoh pengetahuan ; tahu tentang kipas, jenis kipas dan rupa bentuk kipas.
Apa yang penting kepada kita ialah bagaimana melahirkan generasi berilmu, bukan sekadar generasi bermaklumat dalam sesuatu perkara. Justeru itu, penguasaan ilmu terhadap sesuatu perkara sangat penting. Tanamkanlah "ilmu" dalam jiwa anak-anak, pindahkanlah "ilmu" kepada generasi kita, bukan maklumat atau pengetahuan,kerana pengetahuan biasa akan dapat mereka perolehi melalui pengalaman seharian. Ilmu menuntut pergerakan mata hati, keaktifan budi kebijaksanaan penalaran dan akal yang tinggi ke tahap kesedaran hakiki.

Wednesday, May 27, 2009

Muhammad saw Pencetus Tamadun Insan

NABI MUHAMMAD S.A.W PENCETUS TAMADUN INSAN DI MEKAH


A. Pengenalan

Allah s.w.t telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Kesempurnaan ciptaan ini pernah suatu ketika dicemburui oleh para iblis sehingga hilang rasa hormatnya terhadap manusia pertama iaitu Adam a.s, di sebabkan sikap sombong dan angkuh serta tidak mahu mengiktiraf keunikan Adam a.s akhirnya iblis terpaksa membayar dengan harga yang sangat mahal iaitu jaminan neraka yang berpanjangan. Semua ini berlaku dengan terciptanya Adam a.s. Begitu juga dengan malaikat yang menyatakan kesempurnaan diri di hadapan Allah s.w.t sebagai makhluk yang sentiasa bertasbih, taat dan patuh turut mempersoalkan tentang kejadian manusia yang suka bertelagah dan menumpahkan darah, akhirnya akur terhadap ketentuan Allah s.w.t apabila Adam a.s mampu menyebut nama-nama benda di syurga apabila disuruh oleh Allah s.w.t dan yakin dengan ketentuan Allah s.w.t tentang ciptanNya tersebut. Ternyata, Adam a.s adalah makhluk genius kerana mempunyai asas ta’budi dan intelek. Sesuai dengan penciptaan ini, maka tepatlah Allah s.w.t melantiknya menjadi khalifah. Khalifah adalah pemimpin atau wakil di bumi, tugasnya adalah untuk memakmurkan bumi, menjaga keamanan dan kesejahteraan, membangunkan bumi dengan segala kekuatan yang ada serta menggali segala bentuk khazanah di langit dan di bumi untuk manfaat diri, keluarga, masyarakat serta manusia sejagat. Justeru itu, ketamadunan manusia diukur sejauh mana mereka dapat membangun dan menggunakan sumberdaya ini untuk kegunaan mereka sendiri dengan cara yang betul tanpa sikap mengeksploitasi dan prejudis terhadap alam sehingga merosakan sebahagian hidup mereka sendiri.

Jika Adam a.s merupakan rasul pertama, perutusan Muhammad s.a.w pula adalah rasul terakhir bertujuan untuk membangun manusia ke arah kehidupan yang bertamadun. Perutusan ini tepat dan kena pada masanya di mana ia bermula ketika manusia semakin hilang nilai-nilai kehidupan sebenar seperti kerosakan akidah, kehidupan sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Selepas perlantikan Muhammad s.a.w sebagai penyelamat umat dan membawa risalah kenabian iaitu setelah turunnya ayat pertama surah al-Alaq 1 hingga 5, Muhammad s.a.w telah memulakan satu cetusan sejarah yang sangat besar dalam kehidupan tamadun manusia.

B. Pembentukan Tamadun Insan di Mekah

Masa tiga belas tahun pertama kebangkitan kenabian, adalah zaman yang penuh cabaran. Persoalannya, mampukah seorang manusia biasa seperti Muhammad s.a.w boleh mengubah pola kehidupan manusia yang sangat jauh terpesong dari landasan sebenar dalam pelbagai dimensi kehidupan yang begitu kompleks? Itulah tugas berat dan penuh cabaran yang sedang menanti setiap saat dalam kehidupan baginda s.a.w. Sesungguhnya misi utama baginda s.a.w bukan sahaja untuk memakmurkan bumi, bahkan jauh lebih penting dari itu kehadirannya adalah untuk mengubah pegangan akidah dan cara berfikir masyarakat pada masa itu yang sangat kuat bergantung kepada unsur-unsur alam yang jauh menyimpang dan juga kerosakan akhlak serta moral yang membawa kepada kehidupan mereka penuh dengan pelbagai krisis kemanusiaan, akhlak, undang-undang dan sebagainya.

Inilah pekerjaan yang paling sukar dilakukan dalam sejarah manusia, mereka menjadikan objek alam, khazanah serta serpihan yang ada di dalamnya sebagai unsur untuk disembah, mentaliti polytheisme ini bukan sahaja wujud di Mekah bahkan bertaburan di seluruh pelusuk dunia. Ketika itu, hanya ada satu manusia yang berperipadi agung, bijaksana, bersahsiah tinggi serta memiliki kesediaan mental dan fizikal yang mantap sanggup menghadapi apa sahaja cabaran masyarakat pada waktu itu. Di sinilah juga letaknya visi dan misi, perancangan dan strategi yang dibantu dengan mukjizat yang telah dilakukan oleh Muhammad s.a.w bagi mengubah perinsip manusia.

Kesempurnaan sikap peribadi baginda s.a.w telah diterjemahkan dengan sempurna pada zaman Mekah ini. Zaman ini juga menyaksikan peringkat permulaan wahyu diturunkan secara bertahap, fasa dakwah juga berjalan secara bertahap iaitu tahap rahsia dan tahap berterus terang. Tumpuan utama yang diberikan pada masa ini ialah kearah pembentukan akidah, ibadat dan asas akhlak atau lebih tepat dikatakan pada masa ini tugas utama kenabian pada masa itu adalah kearah pembinaan dan pembentukan tamadun insan.

1. Proses Pembentukan Akidah dan Ibadat

Akidah ialah pegangan dan kepercayaan, iaitu proses menyemai keyakinan kepada wujud Tuhan yang Maha Esa, menjelas dan menyatakan kepada manusia tentang rukun iman yang menjadi teras kepada akidah yang sah. Proses menukar akidah adalah proses menukar kepercayaan dan prinsip seseorang, inilah tugas yang perlu dilakukan oleh seorang rasul. Oleh kerana prinsip tersebut sangat asas dalam kehidupan, maka ia terpaksa dilakukan secara halus, berhemah dan berhati-hati. Justeru itu, maka tidak hairanlah Allah s.w.t memerintahkan pada tahap awal penyebaran hanya bertumpu di kalangan keluarga dan sahabat yang paling rapat. Fokus seruan aadalah terhadap perkara pokok agama Islam iaitu percaya adanya Allah s.w.t serta meninggalkan pemujaan kepada berhala;
“Hai orang yang berselimut(Muhammad),Bangunlah, lalu berilah peingatan (kepada kaummu), Dan Tuhanmu besarkanlah, Dan pakainmu bersihkanlah, Dan berhala tinggalkanlah “ (al-Mudatsir : 1 – 5)
Masyarakat yang telah sebati dengan penyembahan berhala memang amat sukar di bentuk. Membina dan menyembah berhala merupakan ciri khas bagi setiap kabilah mereka, bahkan bagi tiap-tiap rumah juga terdapat berhala khusus untuk disembah, sehingga berhala-berhala juga banyak didirikan disekitar Kaabah dan dikatakan terdapat lebih 360 berhala dipersekitarannya.[1] Mereka juga percaya kepada berbagai jenis tuhan seperti tuhan malaikat, jin dan bintang-bintang, percaya malaikat adalah anak tuhan. Ibn Malih daripada suku Khazaah adalah penyembah jin, bahkan ada yang menyembah planet-planet.[2] Tidak cukup dengan menyembah berhala, mereka percaya apabila hendak berkahwin atau bermusafir mereka akan menemui patung Hubal, dihadapannya ada Azlam iaitu beberapa bilah anak panah yang bertanda ya atau tidak, ada yang sanggup mengorbankan anak, percaya bencana akan menimpa sekiranya mencaci Latta dan Uzza serta berbagai unsur tahyul dan khurafat lain lagi.
Dalam menghadapi akidah masyarakat seperti ini, Muhammad s.a.w perlu menyiapkan strategi , kekuatan mental dan fizikal yang cukup. Pada mulanya beliau hanya mendekatkan jiwa kepada orang-orang yang terdekat kepadanya serta cuba membebaskan mereka daripada watak-watak kasar warisan nenek moyangnya, pembinaan keluarga terdekat dimulai dengan Ali sesudah Khadijah. Sumber sirah menyebut, beliau sekeluarga pernah pergi ke tengah-tengah padang pasir yang sunyi di sekeliling Mekah untuk memanjatkan rasa syukur dan bersembahyang sehingga suatu hari beliau dikejutkan oleh bapa saudaranya Abu Talib, lantas Muhammad s.a.w berkata “inilah agama Tuhan, agama para malaikatNya, nabi-nabiNya dan agama nenek moyang kita Ibrahim, Tuhan telah mengutuskan aku kepada manusia untuk menunjukkan jalan benaran dan engkau adalah insan yang paling mulia di kalangan mereka sepatutnyalah aku meminta dan sewajaranya engkau menerima kebenaran ini dan membantu menyiarkannya”.[3] Abu Talib memahami, kehendak Muhammad s.a.w tetapi tidak membantah.
Dengan akidah tauhid ini, konsentrasi orang Arab dialihkan semata-mata hanya untuk menyembah Allah s.w.t, tanpa menyekutukanNya, inilah yang dimaksudkan pembinaan Tauhid Ubudiah atau Uluhiyah. Selain dari itu, konsep Tauhid juga bermaksud agar Allah sahaja diakui sebagai penguasa yang sebenarnya di atas muka bumi ini, dengan doktrin ini Allah s.w.t bukan sahaja diakui sebagai Pencipta yang berkuasa di alam ini, bahkan juga sebagai Pencipta hukum dan undang-undang inilah yang disebut Tauhid Rububiah.[4]
Muhammad s.a.w mengajar manusia yang mengaku berpegang kepada akidah Islam mesti menjadikan seluruh jiwa raga serta hidup dan matinya untuk Allah s.w.t semata-mata, menjauhi unsur syirik dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain dalam pelbagai bentuk dan corak.
Muhammad s.a.w membawa asas akidah dan menekankan aspek ibadah sebagai realisasi keimanan sama ada ibadat umum atau khusus, sesuai dengan dengan kejadian manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah;
“ Tiadalah Aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembahKu” (al-Zariat:56)
pengabdian ini harus berlaku dalam konteks menjalankan tugas dan amanah Allah selaku pewaris atau khalifah dibumi;
“ Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi, dan meninggikan setengah kamu dari yang lain beberapa darjat, supaya Dia mengujimu tentang apa-apa yang diberikanNya kepadamu. Sesungguhnya Tuhan mu amat segera siksaannya sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Penyayang” (al-An’am : 165)
Aasas ibadat yang dibawa Muhammad s.a.w ialah kombinasi dari isi dan kesepaduan ajaran asas iaitu rukun Islam dan Rukun Iman. Tujuannya ialah untuk membentuk keperibadian muslim untuk sesuatu tindakan dan keperibadian Islam itu juga terbina atas asas takwa kepada Allah s.w.t



1. Pembentukan Akhlak

Mohd Jawad Ridha menyatakan “akhlak ialah sifat terpuji yang patut dimiliki oleh setiap orang, sesebuah masyarakat tidak akan maju sekiranya tidak memiliki akhlak yang terpuji kerana akhlak terpuji bermatlamat mendidik manusia kearah mencapai kemajuan dalam kehidupan”.Dalam hal ini penyair Arab bernama Syauqi menyatakan “umat atau bangsa itu kekal selagi mereka itu berakhlak, hilang akhlak hapuslah bangsa, jika akhlak mereka jatuh ,jatuhlah maruah dan hilanglah bangsa”[5]
Akhlak menurut perspektif Islam adalah rasa keimanan seseorang kepada Allah s.w.t. Dalam bentuk praktis, akhlak merupakan kayu ukur kepada nilai dan kualiti sesuatu tamadun yang dibina oleh manusia. Dalam hal ini, akhlak yang utama adalah model diri Muhammad s.a.w sendiri yang merupakan pancaran dari al-Quran dan Sunah, kejayaan Muhammad s.a.w membentuk tamadun ini dapat dicontohi melalui generasi al-Quran peringkat awal iaitu para sahabatnya. Contoh yang jelas dalam masalah ini ialah bagimana sifat peribadi saidina Umar al-Khatab yang berwatak bengis, zalim dan pernuh membunuh anak perempuannya hidup-hidup dalam timbunan pasir berubah kepada peribadi yang halus, lemah lembut, perihatin, penyayang serta penuh dengan akhlak mulia. Aisyah r.a, ketika ditanya tentang akhlak Muhammad s.a.w menyebut akhlak beliau adalah al-Quran, Muhammad s.a.w sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Bagi masyarakat jahiliah, akibat dari tekanan suasana yang serba mencabar wujudlah sifat al-ghazw(peperangan) dan Hamasah(Kepahlawanan). Konsep ini terangkum dalam dasar falsafah hidup mereka”Bantulah saudaramu baik ia dizalimi atau menzalimi”,Zuheir b. Abi Salma penyair terkanal zaman jahiliah menyebut “ Sesiapa sahaja yang tidak menjaga kehormatan diri dan kebebasannya dengan pedang dan senjatanya akan di musnahkan orang. Begitu juga sesiapa yang tidak melakukan kezaliman terhadap orang lain akan menerima kezaliman orang lain keatas dirinya”. Penyair al-Qattami pula menyebut “Dalam kehidupan demikian, kita mestilah merompak seteru kita,jiran kita dan saudara kita, kalau tidak orang lain yang akan merompak kita”.Hasil dari falsafah jahiliah ini lahirlah sifat individualistik serta nasionalisme sempit yang kemudiannya dilengkapkan lagi dengan pelbagai sifat keji seperti kebiasaan berfoya-foya dan menurut nafsu shahwat. Keadaan menjadi lebih ketara apabila mereka mendapat anak perempuan, muka si bapa menjadi hitam kerana terlalu marah;
“ Apabila salah seorang daripada mereka diberi khabar gembira dengan anak perempuan, lalu mukanya menjadi hitam, sedang ia berdukacita(menahan kemarahan), Ia menyembunyikan diri dari kaumnya, kerana kejahatan khabar gembira yang diterimanya, Apakah akan dipegang anak itu dengan (menanggung) kehinaan atau dikuburkannya kedalam tanah? Ingatlah amat jahat hukuman mereka itu” (al-nahl:58-59)
Begitu juga dalam bidang politik, meskipun masyarakat Mekah bijak berpolitik namun amalan politik kotor tetap mereka amalkan. Walaupun begitu, seperti daki yang melekat pada pakaian, masih ada sedikit ruang kebaikan bagi masyarakat ini seperti menjaga maruah, memuliakan tamu, menolong golongan miskin dan berpegang pada janji tetapi keseluruhan falsafah Mekah-jahiliah adalah mazmumah.
Menghadapi situasi yang penuh dengan kebejatan moral yang diamalkan sejak sekian lama, Muhammad s.a.w semestinya memeliki formula tersendiri. Baginda memulakan sesuatu dengan dirinya sendiri sebagai rule model atau “bil hal”. Setiap waktu diprakktikan oleh baginda sikap memaafkan, jujur, amanah, lemah lembut, suka membantu dan lebih unik lagi kebijaksanaan menyelesaikan masalah yang dipamerkan oleh Muhammad s.a.w amat mengkagumkan masyarakat Mekah-jahiliah sebelum baginda menjadi rasul lagi. Sejarah belum pernah mencatat adanya seorang pemimpin yang berjaya menakluki sebuah kota tanpa memporak perandakan bangsa itu, dengan ketinggian akhlaknya dia memebebaskan tawanan perang dan sentiasa membuka pintu kemaafan, aspek yang paling menonjol dalam dirinya ialah ia mempraktikan sifat ramah, simpati dan berhati lembut dalam pergaulan.[6] Pembentukan peribadi adalah unsur terpenting dalam Islam dan termasuk tujuan kedatangan risalah itu kedunia.

C. Kesimpulan

Penanaman akidah, kesempurnaan dalam ibadah dan keluhuran peribadi adalah manifestasi dari kesempurnaan risalah Muhammad s.a.w dalam periode Mekah. Inilah bentuk tamadun yang dicanangkan oleh baginda dalam upaya membentuk tamadun insan di Mekah. Terbukti, Muhammad s.a.w berjaya membina tapak kekuatan Islam dengan satu kejayaan yang luar biasa sehingga memberi momentum yang besar kemudiannya terhadap perkembangan Islam seperti Islamnya kaum keluarga dan beberapa orang tokoh kuat Quraish. Implikasinya, lahirlah perjanjian Aqabah dan seterusnya menggamit peristiwa Hijrah ke Madinah dan terciptalah satu lakaran sejarah agung seorang tokoh besar dunia.


[1] Abu Hasan al-Nadwi, Ma za Khasaral al-Alam Bi inhitat al-Muslimin,2000ms:142 , Qaherah Darul Qalam, ms : 63
[2] Ibid.
[3] Syed Ameer Ali, Sejarah Evolusi Dan Keunggulan Islam, 1992, Dewan Bahasa Dan Pstaka, ms: 80
[4] Dr.Abdul Rahman Haji Abdullah,Sejarah dan Tamadun Islam,2002,Pustaka Ilmi, ms: 47
[5] Ahmad Mohd Salleh, Pendidikan Islam Falsafah,Pedagogi dan Metodologi,1997,Fajar Bakti, ms: 25
[6] Drs.Mahmuddin,M.Ag,Manajemen dakwah Rasulullah,2004,Restu Ilahi,Indonesia,ms: 50